Advertiser 2
0
Jumaat, November 09, 2012 Post By: Tan Sri Kroll™

Bilakah rakyat kita akan menang Hadiah Nobel?



Pada tahun ini Hadiah Nobel dalam kategori Keamanan (Nobel Peace Prize) diberikan kepada Kesatuan Eropah (EU). Jawatankuasa Hadiah Nobel memberikan alasan bahawa ‘EU bekerja keras bagi memastikan keamanan dipertahankan di Eropah selama lebih enam dekad.’ Sudah pastilah banyak orang mempertikaikan hujah ini. Eropah seluruhnya bertanggungjawab pada apa yang berlaku sewaktu Perang Balkan pada awal tahun-tahun 90-an. Malah bukan rahsia lagi pembunuhan dan penganiayaan terhadap Muslim Bosnia-Herzegovina berleluasa kerana kegagalan Eropah mengambil langkah sewajarnya.

Hadiah Nobel memang tidak lekang dengan kontroversi. Ia memang merupakan hadiah paling besar dan berprestij di dunia. Akademi Hadiah Nobel memberikan penghargaan pada individu dan organisasi yang dianggap berjasa besar pada dunia dan kemanusiaan. Kini terdapat enam hadiah yang dipertimbangkan yakni keamanan, fizik, kimia, kesusasteraan, perubatan dan ekonomi. Selain daripada nilai kewangan (pemenang mendapat RM3.9 juta) hadiah ini juga dianggap mercu tanda kejayaan dan pencapaian individu dan organisasi dalam disiplin tertentu. 

Alfred Bernhard Nobel dari Sweden, pengasas hadiah ini merupakan seorang ahli kimia, jurutera dan pencipta. Beliau dikatakan bertanggungjawab mencipta dinamit atau alat peletup. Mungkin kerana kaitan beliau dengan alat membunuh itu, beliau mewasiatkan harta peninggalannya untuk kebaikan. Maka lahirlah Hadiah Nobel yang hadiahnya pertama kali diberikan pada tahun 1901. 

Buku The Nobel Prize: A History of Genius, Controversy and Prestige oleh Burton Feldman menggariskan sejarah lengkap hadiah tersebut sehingga 2000, bersempena 100 tahun. Sebenarnya bukan kemenangan EU 12 tahun selepas buku itu diterbitkan sahaja yang dipertikaikan dalam konteks hadiah keamanan. Henry Kessinger yang diberikan hadiah itu bersama Le Doc Tho dari Vietnam Utara pada tahun 1973 dikecam kerana beliau dituduh menyebabkan perang Vietnam merebak. Doc Tho menolak hadiah itu. Yasser Arafat, Shimon Peres dan Yitzhak Rabin memenangi hadiah keamanan pada tahun 1994, sampai ke hari ini isu Palestin tidak selesai. Kemenangan Presiden Barack Obama pada tahun 2009 juga banyak dipersoalkan. Dalam pelbagai bidang lain juga kontroversi siapa yang patut menang ditanyakan. 

Dalam sejarah Hadiah Nobel, 835 individu dan 21 organisasi telah diberikan penghargaan. Seramai 44 orang wanita telah memenanginya (sebenarnya 43 oleh sebab Marie Currie mememanginya dua kali), paling banyak dalam bidang kesusasteraan (12 orang). Keluarga yang paling bertuah ialah Marie Curie yang menerima hadiah dalam bidang fizik pada tahun 1903 dan kimia pada tahun 1911. Suami beliau Pierre berkongsi hadiah itu dengan beliau pada tahun 1903. Anak perempuan mereka, Irene Joliot-Currie memenangi hadiah dalam bidang kimia pada tahun 1935 bersama suaminya. Anak perempuan kedua Curie dan Pierre, Henry Labouisse memenangi hadiah dalam bidang keamanan pada tahun 1965. 

Bangsa Yahudi paling banyak memperoleh kemenangan Hadiah Nobel. Walaupun mereka mewakili 0.2 peratus penduduk dunia tetapi 20 peratus pemenang Hadiah Nobel terdiri daripada orang Yahudi. Mereka merupakan bangsa yang berjaya memenangi kesemua kategori hadiah tersebut. Orang Yahudi yang pertama memenangi Hadiah Nobel ialah Adolf von Baeyer dalam bidang kimia pada tahun 1905. Pada tahun 2012, tiga orang berbangsa Yahudi menang dalam tiga kategori - kimia (Robert Lefkowitz), fizik (Serge Haroche) dan ekonomi (Alvin E. Roth). 
Rakyat dari 72 negara telah memperoleh kemenangan, paling banyak datangnya dari AS (337 orang) diikuti oleh United Kingdom (116), Jerman (102) dan Perancis (65). Negara-negara seperti Albania, Faroe Island, Cyprus, Colombia, Azerbaijan, Trinidad & Tobago, Latvia dan Myanmar mempunyai seorang pemenang. Ghana yang mencapai kemerdekaan pada tahun yang sama dengan kita patut berbangga kerana salah seorang rakyatnya memenangi Hadiah Nobel. Beliau ialah Kofi Annan, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2001.

Setakat ini, 39 orang dari Asia telah memenangi Hadiah Nobel, paling ramai dari Jepun (16) diikuti oleh China (9), India (7) dan Timor-Leste (2). 

Bila agaknya salah seorang rakyat kita akan mendapat Hadiah Nobel?

Sumber: Berita Harian

Related Posts with Thumbnails
Copyright Reserved KROLL, KHAIRUL & KEYROLL 2010.
Design by: Tan Sri Dato' Dr.Khairul | MBBS | supported by Nuffnang