Advertiser 2
0
Khamis, September 30, 2010 Post By: Tan Sri Kroll™

Kronologi Kes Kehilangan Jutawan Kosmetik,Datuk Sosilawati




6 September 2010 


Media melaporkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang sejak 30 Ogos lalu selepas urus niaga pembelian tanah di Banting bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. Sosilawati dikatakan membawa RM4 juta bersamanya.



7 September


Dua kereta BMW, masing-masing dengan nombor pendaftaran WTL 11 dan AAJ 5, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui. Kereta Sosilawati ditemui di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, Subang Jaya; manakala kereta Ahmad Kamil ditemui di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya. 
Keluarga Sosilawati menafikan mangsa membawa wang RM4 juta. 


8 September 


Polis melaporkan Sosilawati dan tiga individu lain masih dalam negara. Sosilawati mengunjungi kedai Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang, Banting pada jam 4 petang, 30 Ogos lalu. 

Noorhisham pula menghubungi isterinya untuk memaklumkan beliau tidak akan pulang tiga hari melalui telefon pada malam 30 Ogos. 



9 September 

Media melaporkan Sosilawati disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan perniagaan dan kewangan. 


10 September 


Kehilangan Sosilawati dilaporkan didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk. 
Polis menahan lima suspek berhubung kehilangan empat mangsa itu. 


11 September 



Polis menemui lokasi empat mangsa itu dibunuh dan mayat mereka dibakar di sebuah ladang di Teluk Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Banting. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya. 

Polis mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, sebelum abunya dibuang ke dalam sungai. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun. 





12 September


Pasukan Polis terpaksa menggunakan khidmat Pasukan penyelam Polis Marin bagi menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.




Pasukan polis dilihat  memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.



13 September


Penahanan suspek utama dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, juga dipercayai dapat membantu polis merungkai empat lagi kes seumpamanya sebelum ini.


Turut ditahan yang disyaki suspek utama, seorang peguam yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya, juga seorang peguam serta enam pekerja mereka. Semua mereka ditahan reman sehingga 18 September ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan semua suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan empat mangsa itu dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Mereka mengaku melarikan, memukul hingga mati dan membakar keempat-empat mangsa sebelum menabur abu mayat di sungai berhampiran dengan tujuan menghapuskan bukti, termasuk barangan peribadi mangsa dan senjata digunakan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, walaupun tiada mayat ditemui, namun pengesahan dibuat berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan.

14september



Senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter dikatakan digunakan untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.


Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.


15 september




Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.


Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.
Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.  Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.

16 september
Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, selesai dan semua suspek dijangka didakwa minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan setakat ini.
Sambil memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Bakri Zinin dan Timbalan JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah atas kejayaan pasukan itu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang cepat, Ismail bagaimanapun berkata, ini bukan bermakna siasatan sudah dihentikan.
Polis kini sedang memburu seorang pemuda berusia 19 tahun yang dikatakan bertanggungjawab mengerat mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebelum mereka dibakar.
Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.
17 September 2010
Profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan mengikut keadaan boleh menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun mayat mangsa pembunuhan tidak ditemui untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam pendakwaan.
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, berkata pendakwaan boleh dilakukan berdasarkan bahan bukti memadai dan keterangan dikumpul polis atau pihak pendakwa mewujudkan prima facie dalam kes jenayah termasuk bunuh.
Jabatan Kimia berdepan kesukaran dalam menentu dan mengenal pasti profil asid deoksiribonukleik (DNA) serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berikutan keadaan tulang yang terbakar teruk berikutan suhu pembakaran terlalu tinggi.
Bagi mendapatkan keputusan ujian, Jabatan Kimia dijangka mengambil masa seminggu kerana terpaksa mengeluarkan kalsium yang masih terkandung dalam tulang berkenaan terlebih dulu.
18 September 2010
1- Polis buat pertama kali semalam mendedahkan cara pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang diikat, sebelum dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar.
2 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada sidang medianya, berkata abu mayat semua mangsa kemudian dibuang ke beberapa sungai sekitar Tanjung Sepat, Morib di Banting bersama barang peribadi mangsa untuk menghapuskan bukti.
Beliau berkata, pengakuan itu dibuat oleh empat pekerja ladang persendirian milik seorang peguam dan ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk’ yang kini menjadi suspek utama pembunuhan kejam yang dirancang rapi itu.
19 September 2010
“Jasa dan pengorbanan Kak Wati kepada kami sekeluarga amat besar terutama dalam membantu memperbaiki kehidupan kami, malah saya sekeluarga sebak apabila diberitahu Kak Wati tidak lupa mengasingkan RM1 juta setiap tahun daripada keuntungannya khusus bagi golongan anak yatim seluruh negara,” kata Rosnani Lawiya, 45.
20 September 2010
Kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya akan memberi kesan terhadap kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan terhadap bekas suaminya, penyanyi terkenal, Nash.
1. Peguam Allahyarham, Datuk Zaidi Zain, ketika dihubungi Berita Harian, semalam berkata apabila berlaku kematian sama ada bagi pihak yang menuntut atau dituntut, ada kesan terhadap status kes tuntutan seperti itu dari segi perundangan. Ditanya mengenai kes tuntutan Sosilawati, 47, terhadap Nash, atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 51, Zaidi berkata, apabila berlaku kematian, secara automatik kes itu tidak boleh diteruskan. Katanya, pihaknya perlu memulakan proses baru jika waris Allahyarham Sosilawati mahu meneruskan kes itu kerana ia membabitkan pihak penuntut baru.
. Polis akan menyiasat kematian pengasas kosmetik Aveer, Sarina Jaafar yang ditemui mati tergantung di rumahnya di Pulau Pinang, kelmarin bagi menentukan sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan rakan baiknya, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Siasatan awal sebelum ini merumuskan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah, tetapi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihak berkuasa itu akan melihat kes kematian Sarina dari semua sudut. Apa pun perkembangan dan apa pun yang kita dengar, kita akan siasat.
Bukan saja melihat dari satu sudut, tapi semua sudut, katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Parlimen, semalam. Sarina, 45, ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang jam 8.30 pagi kelmarin. Difahamkan kematiannya ada kaitan dengan tekanan termasuk apa yang menimpa Sosilawati sehingga mengganggu perasaannya.
3. Enam pakar forensik kini bekerja keras 24 jam bagi menganalisis bahan bukti termasuk tulang yang dikumpul sepanjang siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
21 September 2010
1- Kertas siasatan dan hasil ujian DNA berhubung pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, di Morib Banting yang kini dalam peringkat akhir disiapkan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya awal minggu depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kertas siasatan sedang disiapkan dan beliau akan berjumpa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk menilai kertas siasatan itu. Esok (hari ini) saya akan berjumpa sendiri dengan Peguam Negara untuk menilai ketepatan kertas siasatan dan apa yang perlu ditambah sebelum diserahkan untuk tujuan pendakwaan. Kita akan berbincang secara terperinci bagi melengkapkan kertas siasatan supaya mereka yang menjadi dalang dalam kes pembunuhan kejam itu dikenakan hukuman setimpal.
2- Datuk Sosilawati Lawiya pernah meminta suspek utama kes pembunuhannya, yang juga rakan kongsi dalam pembelian tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang mempercepatkan bayaran hasil jualan tanah itu untuk persediaan Aidilfitri, termasuk pemberian sagu hati kepada kakitangan syarikatnya.
Mangsa dikatakan sudah lama menunggu bayaran tetapi dikatakan dilengahkan dengan alasan penjualan tanah itu masih pada peringkat mahkamah hingga menyukarkan proses tukar nama dilakukan. Difahamkan, kira-kira seminggu sebelum kehilangannya pada 30 Ogos lalu, Sosilawati sibuk dengan urusan tanah itu dan kerap menghubungi suspek bertanyakan perkembangan bayaran selepas ia dijual kepada seorang ahli perniagaan dari Selangor. Sumber rapat dengan Sosilawati berkata, dalam setiap perbualan dengan suspek, mangsa meminta bayarannya dipercepatkan, lebih-lebih lagi selepas mengetahui pembeli sudah membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga jualan tanah berkenaan yang dikatakan mencecah RM29 juta.
3 – Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, sekali lagi dibawa ke pejabat firma guamannya di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
4 – Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin hari ini menemui satu objek seakan-akan gelang emas dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang di sini, hari ini.
Empat penyelam memulakan operasi pada 3.20 petang di kawasan kunci air itu yang terletak berhampiran pasar awam pekan tersebut dan operasi ditamatkan pada 5.05 petang tadi. Turut berada di kawasan operasi menyelam itu ialah suspek utama kes pembunuhan empat individu itu. Suspek, yang juga seorang peguam berumur 41 tahun, turut disiasat berhubung kes seorang lelaki ahli perniagaan warga India yang dikatakan hilang di Banting sejak awal tahun ini.
5 – Siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu dijangka siap sepenuhnya dua minggu lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata kertas siasatan awal berhubung kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pagi semalam untuk diteliti, seterusnya persiapan untuk proses pendakwaan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) memberi jaminan proses siasatan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. Ini termasuk laporan lengkap DNA bagi membolehkan proses pendakwaan dimulakan secepat mungkin, katanya kepada pemberita.






This is a moderated blog,we will review comments for posting within 24hour.We do not discriminate against any views, but we reserve the right not to post comments.

Thank You for Your Incredible Support.

Related Posts with Thumbnails
Copyright Reserved KROLL, KHAIRUL & KEYROLL 2010.
Design by: Tan Sri Dato' Dr.Khairul | MBBS | supported by Nuffnang